Cadangan Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Mohd Khaled Nordin untuk meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) untuk memberi mahasiswa lebih kebebasan seharusnya mempunyai kajian mendalam dan bukan dibuat secara tergesa – gesa untuk mencari populariti. Salah satu perkara yang perlu dipertimbangkan adalah kesan terhadap bilangan professional melayu pada masa akan datang. Sejak AUKU diperkenalkan, aktivis mahasiswa kerap kali menuntut agar AUKU ini dimansuhkan kerana ia menghalang kebebasan mahasiswa. Namun demikian, setelah meneliti beberapa pandangan dan tulisan terhadap tuntutan tersebut, telah dikenalpasti maksud kebebasan yang diperjuangkan adalah terlibat dengan berpolitik dan berdemonstrasi. Persoalanya disini, apakah keuntungan sekiranya mahasiswa diberi kebebasan untuk berpolitik dan berdemonstrasi.
Mengimbau zaman kebangkitan mahasiswa pada akhir 1960an hingga akhir 1970an mahasiswa pada ketika itu begitu aktif mengadakan demonstrasi dalam mempeerjuangkan isu semasa kampus dan masyarakat. Namun pernahkah dibangkitkan persoalan bagaimanakah prestasi akademik aktivis mahasiswa pada ketika itu. Menurut sumber pembacaan dan perbincangan didapati bahawa aktivis – aktivis mahasiswa waktu berkenaan mempunyai keputusan akademik yang teruk dan terdapat sebahagian daripada mereka yang gagal menamatkan pengajian. Namun nasib menyebelahi mereka apabila pada waktu itu sumber manusia begitu terhad dan mereka telah diterima berkerja di sektor awam dan swasta.
Zaman telah berubah, bilangan mahasiswa dan universiti telah bertambah secara langsung juga produk universiti ke pasaran kerjaya juga turut bertambah. Persaingan untuk mendapatkan pekerjaan semakin sengit.Sebagai persediaan untuk menghadapi cabaran pasaran kerjaya yang mencabar ini adakah mahasiswa meletakkan demonstrasi dan berpolitik sebagai keutamaan? Adakah keterlibatan dalam demonstrasi menjadi kredit kepada mereka untuk diterima berkerja? Jika graduan melayu gagal untuk mencapai piawaian yang telah ditetapkan bolehkah mereka menjadi professional dalam jurusan yang mereka ceburi?
Tujuan kerajaan meramaikan bilangan mahasiswa melayu adalah langkah jangka panjang untuk melahirkan lebih ramai profesional melayu terutamanya bidang – bidang kritikal. Mahasiswa melayu seharusya matang untuk menilai perkara yang hendak dilakukan dan bijak menentukan keutamaan. Mereka seharusya disedarkan mengapa perlunya bilangan professional melayu ini perlu diramaikan dalam menghadapi zaman globalisasi yang serba mencabar ini. Jangan seperti pak kadok “menang sorak kampung tergadai”.
Mohd Abd Rauf Tumiran
Yang Dipertua,
GPMS Cawangan Khas UiTM Malaysia.
OK
ReplyDelete