Monday, August 11, 2008

GPMS UiTM BANTAH CADANGAN BUKA UITM KEPADA KAUM LAIN

GPMS UiTM membantah sekeras-kerasnya sebarang pandangan, cadangan
dan juga usaha untuk membawa masuk kaum lain ke dalam UiTM. Sebarang
usaha untuk menjadikan UiTM sebagai mangsa berikutnya kepada apa
yang disebut sebagai `toleransi', seperti yang telah dilakukan
kepada Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh
(SBP) dan juga biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan
ditentang habis-habisan.

UiTM merupakan institut pengajian tinggi yang dikhususkan kepada
kaum bumiputera terutamanya kaum Melayu dan kenyataan ini harus
dipertahankan sampai bila-bila, tidak kira apa jua zaman dan siapa
pun parti yang memerintah.

Ditubuhkan sejak sebelum merdeka, UiTM telah melalui sejarah panjang
yang menyingkap pengorbanan dan perjuangan bangsa Melayu dan
mempunyai simbolik yang cukup signifikan kepada orang Melayu. Usaha
untuk membawa masuk kaum bukan bumiputera ke UiTM jelas mencabar
maruah kepertuanan orang Melayu dan dikhuatiri boleh mengganggugugat
keseimbangan perhubungan antara kaum Negara ini.

Keseimbangan sosial di Negara ini banyak bergantung kepada
keseimbangan ekonomi dan kuasa ekonomi pula berhubungan secara
langsung dengan aspek pendidikan. Sasaran untuk menyeimbangkan
peratusan pecahan ekonomi di Negara ini dapat dicapai dengan
memberikan lebih peluang pendidikan kepada kaum bumiputera dan bukan
mengurangkannya seperti yang telah dilakukan kepada biasiswa JPA dan
yang ingin dilakukakan kepada UiTM. Entiti UiTM yang menyediakan
seratus peratus kuota kepada kaum bumiputera tidak wajar
dipersoalkan sama sekali memandangkan terdapat lebih 19 IPTA(selain UiTM) dan beratus buah
IPTS yang menyediakan peluang pendidikan kepada kaum bukan
bumiputera(kurang daripada 30% pelajar di IPTS adalah bumiputera).

Sejak awal penubuhannya, UiTM telah menghasilkan ratusan ribu
graduan Melayu yang telah pun berasimilasi dengan sektor pekerjaan,
tidak kira sektor awam mahupun swasta. Namun, jarang sekali
kedengaran graduan UiTM tidak dapat menyesuaikan diri dengan alam
pekerjaan yang melibatkan semua kaum. Malah, hakikat bahawa graduan
UiTM mempunyai permintan yang tinggi daripada sektor pekerjaan
begitu diakui ramai. Justeru kenyatan segelintir pihak yang mahu
UiTM dibuka kepada kaum lain dengan alasan untuk memastikan pelajar
UiTM lebih mesra dengan masyarakat berbilang kaum di Negara ini sama
sekali tidak boleh diterima.

UiTM merupakan benteng terakhir untuk mempertahankan martabat bangsa
dan benteng itu seharusnya dipertahankan sampai bila-bila oleh semua
pihak. Sebarang usaha untuk membawa masuk kaum lain ke dalam kilang
pengeluar utama professional Melayu ini haruslah dihentikan sama
sekali.

MELAYU KAN GAGAH DI NUSANTARA!

AHMAD THIBRI MASHRI
KETUA PENERANGAN
GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG (GPMS)
CAWANGAN KHAS UITM MALAYSIA

Sunday, August 10, 2008

UiTM Dibuka kepada Bukan Bumiputera ????

Mengulas kenyataan menteri besar selangor yang mahu UiTM memberi 10% tempat kepada bukan bumiputera.(Sinar Harian, 11 Ogos 08- N2). Persoalan dibawah harus difikirkan ..

1. Mengapa mesti orang melayu sendiri yang memberi jalan kapada kaum lain untuk belajar di UiTM tanpa ada suara terbuka dari kaum lain untuk tujuan tersebut.

2. Adakah ianya benar untuk tujuan persaingan yang sihat ataupun ianya hanyalah kenyataan yang menguntungkan politik pihak tertentu.

3.Apakah ianya satu lagi langkah untuk cuba mengusik orang melayu setelah beberapa isu terdahulu (Kuasa raja - raja melayu, ternakan babi secara komersil di selangor, Biasiswa JPA, Perbincangan semula kontrak sosial, forum memeluk islam)